SHAH ALAM – Gerakan Prihatin Rakyat Selangor (GPRS) menyifatkan peletakan jawatan Rafizi Ramli sebagai Ketua Eksekutif Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor membuktikan krisis dalaman dalam kepimpinan Kerajaan Negeri Selangor semakin memburuk.

Pengerusinya, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, realitinya PKR dilihat bukannya bertunjangkan perjuangan rakyat tetapi untuk mengejar jawatan masing-masing.

“Apakah ini ada kaitan dengan Azmin? Biarlah mereka yang mengulas panjang lebar krisis terbaru itu dan apakah ini juga mempunyai kaitan dengan krisis yang melibatkan antara Azmin dan (Tan Sri) Abdul Khalid serta Faekah?

“Saya tidak mahu mencampuri urusan dalaman mereka namun kepada rakyat amat jelas pergolakan Kerajaan Negeri Selangor pimpinan PKR semakin kronik dan seolah-olah hilang hala tuju.

“Ini adalah bukti pergolakan dan krisis balas dendam yang berlaku dalam kepimpinan Kerajaan Negeri, mereka terlalu berpolitik hingga mengabaikan tanggungjawab untuk memberikan perkhidmatan kepada rakyat Selangor,“ katanya.

Rafizi mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ketua Eksekutif Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor semalam selepas menyandang jawatan itu sejak 2009.