Kelantan Tidak Pernah Mohon

September 24, 2014 - 2 minutes read

Kementerian Kewangan tidak pernah menerima sebarang permohonan daripada kerajaan negeri Kelantan untuk membina stadium baru di Selising, Pasir Puteh untuk dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK10).

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata, disebabkan tidak menerima permohonan itu, maka kementeriannya tidak pernah membincangkan hal itu di peringkat kementerian.

“Saya sebagai Timbalan Menteri Kewangan tidak tahu menahu permohonan itu,” katanya mengulas laporan kononnya kerajaan Pas Kelantan kecewa apabila cadangan memasukkan projek pembinaan stadium dalam RMK-10 tidak diterima oleh Kerajaan Pusat.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Ihsan, Belia, Sukan dan NGO Negeri, Abdul Fatah Mahmood berkata, Isnin lalu kerajaan Barisan Nasional (BN) sepatutnya memberi kerjasama daripada kerajaan negeri yang giat membangunkan sukan di negeri ini.

Dr Awang Adek berkata, dakwaan itu sebagai helah untuk memburuk-burukkan Kerajaan Pusat dan cuba menutup mata rakyat.

Beliau berkata, kerajaan Pas Kelantan sepatutnya bertanggungjawab membina sendiri selepas mengumumkan projek besar itu yang melibatkan kos RM100 juta dan tidak meletakkan kegagalan itu kepada Kerajaan Pusat.

“Rakyat Kelantan jangan mudah tertipu dengan helah itu terutama pada saat menjelang pilihan raya umum,” katanya.

Beliau, yang juga Pengerusi Pengagihan Wang Ehsan Kelantan berkata, pengagihan wang ehsan bukan gula-gula politik sebagaimana didakwa oleh setengah pihak, sebaliknya ia untuk rakyat Kelantan yang sangat memerlukan bantuan tanpa mengira fahaman politik.

Beliau berkata, pelajar, mangsa ribut dan mereka yang tinggal di rumah hampir roboh antara yang sudah mendapat manfaat wang berkenaan.

“Kita tidak pernah tanya mereka penyokong Umno atau Pas dalam usaha pengagihan wang ehsan ini,” katanya.