Takut Kena Sebat, Penjara, Jangan Bercerai

November 13, 2019 - 4 minutes read

Takut Kena Sebat, Penjara, Jangan Bercerai

Selepas ini mana-mana suami dan isteri di Kelantan yang berhasrat hendak bercerai disebabkan tidak ada persefahaman serta pergolakan rumah tangga mereka sampai ke tahap kronik sehingga tidak dapat diselamatkan lagi, mungkin akan berfikir beribu kali sebelum berbuat demikian.

Ini bukan kerana suami bimbang dirinya tidak laku selepas bergelar duda atau isteri takut tidak lagi mendapat pasangan hidup baru setelah berstatus ibu tunggal, tetapi mereka dibayangi oleh hukuman sebat atau penjara yang bakal dihadapi.

Tidak ada siapa pun mahu menyerahkan tubuh badan mereka dirotan atau merelakan diri di penjara hanya kerana perceraian yang mungkin berlaku disebabkan krisis rumah tangga, bukan disengajakan atau sebaliknya.

Namun, begitulah hakikatnya jika cadangan kerajaan Pas Kelantan itu menjadi kenyataan. Alasan kerajaan pimpinan Nik Abdul Aziz mencadangkan sedemikian sebagai usaha mengelakkan berlaku perceraian dalam kalangan suami isteri di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan negeri, Wan Ubaidah Omar dilaporkan berkata, walaupun jumlah pasangan bercerai di negeri itu berada pada peratusan yang rendah, namun hukuman berat boleh dipertimbangkan.

Sejak Pas mengambil alih Kelantan pada tahun 1990, banyak cadangan dan hasrat berkaitan pelaksanaan undang-undang dibangkitkan. Tetapi selepas 21 tahun berlalu, satu pun cadangan atau hasrat itu menjadi kenyataan.

Daripada melarang wanita bekerja malam sehingga kepada menegah perempuan memakai gincu, kerajaan Nik Abdul Aziz merangka pula undang-undang hudud yang dinamakan hudud Pas.

Malangnya sehingga ke hari ini undang-undang itu tidak berkuatkuasa. Ia tenggelam bersama tukun tiruan di lautan. Kemudian timbul kembali ketika tiba musim pilihan raya. Begitulah urutan pentadbiran kerajaan Pas Kelantan. Suka membangkitkan isu bagi menghuru-harakan pemikiran rakyat.

Terkini

mereka nak laksanakan hukuman sebat atau penjara pula kepada pasangan suami isteri yang bercerai. Bagaimana kalau rumah tangga pasangan suami isteri itu tidak dapat diselamatkan? Adakah kerajaan Pas mahu pasangan itu tinggal serumah tanpa bertegur sapa dan sentiasa bermasam muka?

Apakah hukumnya kalau suami isteri tidak bertegur sapa sehingga tiga hari? Dan macam mana suami isteri itu hendak berbaik, kalau rumah tangga mereka gagal diselamatkan? Adakah pasangan ini perlu tinggal sebumbung semata-mata takut untuk bercerai?

Kalau bercerai juga, maka hukuman sebat atau penjaralah jawabnya. Mahukah suami itu menyerahkan punggung atau belakang pinggangnya untuk dibedal dengan rotan? Atau mahukah si suami itu menyerahkan dirinya berada dalam penjara hanya kerana dia sudah tidak ada jodoh lagi dengan isterinya?

Beginikah cara kerajaan Pas Kelantan hendak melepas tangan dalam pentadbirannya? Mengambil jalan mudah hendak mengelakkan rakyatya bercerai berai? Bukan penulis mahu menggalakkan perceraian, tetapi lupakah Nik Abdul Aziz, setiap perjalanan hidup manusia ditentukan Allah?

Mahukah beliau melihat rakyatnya hidup dalam penderitaan? Dahlah institusi kekeluargaan gagal diselamatkan, hidup pula dalam kebimbangan. Bimbang disebat dan di penjarakan jika bercerai.

Bagaimana dengan wakil rakyat Pas yag menceraikan isterinya? Adakah mereka juga tidak terlepas daripada undang-undang itu? Sungguh pun ia hanya diperingkat cadangan, tetapi sebanyak  lagi hal-hal lain yang lebih penting yang perlu dicadangkan oleh kerajaan Pas, bukan cadangan untuk mengenakan hukuman sebat atau penjara kepada pasangan yang bercerai.

Ini bukan caranya hendak menjadi kerajaan. Dan ini bukannya tugas seorang menteri besar untuk menunjukkan perubahan dalam pemerintahannya. Ia langsung tidak dilihat sebagai cadangan membina, sebaliknya sebagai kedangkalan seorang pemerintah atau pentadbir dalam sesebuah negeri.